Kasturi bertindak sebagai agen penyebar haruman selain dipercayai
mempunyai kelebihan dalam dunia perubatan tradisional. Ia merupakan
entiti paling berharga yang didatangkan dari tubuh kijang jantan.
'BAHAWA dinding-dinding syurga itu batu-bata dari perak dan emas.
Tanahnya pohon kimkuma (Za'faran) dan buminya kasturi.' Mengamati
petikan hadis riwayat Al-Bazzar ini membayangkan kepada kita betapa
keenakan bauan kasturi itu sudah lama disebut dan disampaikan dari mulut
ke mulut.
Sekian lama merentangi latar zaman, waktu dan masyarakat, rahsia
kehebatan kasturi terus diperkata. Hinggakan apa sahaja yang berbau
harum dikaitkan dengannya.
Ungkapan 'seharum kasturi' juga mudah ditemui dalam bait puisi turun-temurun, lirik lagu cinta dan juga bicara romantis.
Namun, sejauh manakah kita mengetahui dari mana datangnya bahan yang
istimewa ini? Bagi yang keliru, kasturi disangkakan ekstrak pati bunga,
buah-buahan atau kulit kayu, sebagai mana dalam industri pembuatan
minyak wangi.
Sebenarnya, istilah kasturi (bahasa Inggeris: musk) merujuk kepada kandungan yang terdapat dalam bintil kelenjar kijang jantan.
Walaupun kerap ditemukan di bahagian antara perut dan genital,
kasturi juga bukan janggal jika ia tumbuh di bahagian-bahagian lain
haiwan tersebut, seperti di leher, badan atas dan juga kepala.

|
BULU pada bintik kasturi dikatakan terus tumbuh biarpun setelah terasing dari kijangnya.
|
Apabila tertanggal atau dipotong dari tubuh kijang tersebut, bintil
kasturi yang mengering membuatkan kandungan berwarna merah keperangan
berubah menjadi hitam dan keras.
Jika ditekan kuat atau diketuk, butiran kecil akan terkeluar darinya
dan bahan itulah yang dicampur bersama minyak atau ekstrak wangian
beralkohol.
"Sejak ratusan tahun lalu, ia digunakan dalam pembuatan
wangi-wangian. Kasturi juga bertindak sebagai agen penyebar haruman
selain dipercayai menjadikan bau haruman lebih tahan lama.
"Pendek kata, ia merupakan produk haiwan yang paling berharga dan
haiwan tertentu sahaja menghasilkannya," ujar peniaga Tarmizi Yusuff,
35, yang ditemui di bazar Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.
Menurutnya, dalam dunia ini, hanya terdapat lima jenis haiwan yang
menghasilkan kasturi iaitu kijang jantan, lembu, musang, kura-kura dan
tikus. Paling popular adalah kasturi kijang jantan yang hidup di
pergunungan Himalaya.
"Bukan tikus yang macam kita jumpa di lorong dan longkang, tapi jenis
tikus yang besar saiznya," terangnya segera tatkala melihat penulis
mengerutkan dahi membayangkan haruman dikaitkan dengan makhluk yang
gemar habitat kotor itu.

|
KASTURI banyak dimanfaatkan dalam pembuatan minyak wangi kerana ia menguat dan memanjangkan hayat haruman.
|
Apa yang dimaksudkan adalah rodensia besar seperti memerang iaitu tikus muskrat (Ondatra zibethicus). .
Mula menjual kasturi di gerainya sejak tahun 2005, Tarmizi
memberitahu dia mendapat bekalan dari seorang rakan niaga dari Nepal.
Sebiji 'kantung' kasturi tersebut yang saiznya lebih kurang sebiji bola
pingpong dijual pada harga RM30.
"Ada juga kasturi yang berangkai dan harganya antara RM500 hingga
RM1,000, bergantung pada bilangan kasturi yang bersambung bersama.
"Pembeli kasturi ini terdiri daripada golongan mereka yang turut
berniaga barangan yang berkaitan dengan minyak wangi. Ada juga yang
membeli sekadar minat mengumpul atau menganggapnya sebagai perhiasan.
"Lebih istimewa apabila ada pelanggan warga Bangladesh dan Pakistan
yang membelinya untuk dimakan kerana percaya ia mempunyai khasiat
perubatan," katanya.
Dalam bidang perubatan tradisional Cina, kasturi dipercayai mampu
mengembalikan kesedaran seseorang yang pitam atau pengsan, melancarkan
peredaran darah, merangsang penyingkiran darah haid, mengurangkan kesan
bengkak dan meredakan kesakitan.
Oleh kerana spesies kijang yang menghasilkan kasturi sukar ditemui,
saintis Cina beralih kepada sains dan teknologi untuk mengembangkan
potensi perubatan.

|
TARMIZI menerima pelbagai reaksi daripada pengunjung yang mengamati kasturi yang dijual di gerainya.
|
Ia dilakukan dengan penternakan artifisial mamalia tersebut
seterusnya mengekstrak bintil kasturi tanpa perlu membunuh kijang.
Pengambilan bintil kelenjar itu secara berjadual menggalakkan
penghasilan kasturi sekali gus mendorong upaya reproduksinya.
Kasturi diangkat sebagai penawar ajaib di kalangan masyarakat konvensional di Nepal, Pakistan, Siberia dan Mongolia.
Di India pula, penggunaan kasturi telah lama diserap dalam kaedah
perubatan Ayurveda. Kononnya, ia mampu meredakan penyakit asma, ekzema,
demam, sakit kepala dan ulser. Bagaimanapun, pembuktian klinikal masih
dijalankan tentang dakwaan tersebut.
"Kegunaan paling popular adalah dalam industri pembuatan minyak
wangi. Baik minyak wangi atau atar yang didatangkan dari Mekah atau
India, terdapat juga pengusaha yang memasukkan butiran kasturi itu ke
dalam botol jualan. Ia akan menambah nilai harganya," kata Tarmizi.
"Ada yang keliru tentang hukum ia digunakan untuk bersembahyang.
Kalau hendak mengulas lebih mendalam tentang itu, saya kurang arif,"
ujarnya.
Dianjurkan pertanyaan ini kepada Mufti Johor, Datuk Noh Gadot
berkata, kekeliruan mengenai hukum sah dibawa sembahyang ini terjadi
memandangkan kasturi berasal dari haiwan.
Selain faktor itu, bintil kelenjar ini juga 'dipisahkan' dari tubuh
haiwan tersebut ketika ia masih hidup, atau tidak disembelih.
"Sama seperti bulu kambing (yang telah dibersihkan) digunakan sebagai
alas atau dijadikan sebahagian daripada pakaian ketika bersembahyang,
begitulah juga dengan kasturi.
"Hakikatnya, ia adalah entiti yang wujud secara sendiri pada tubuh
haiwan itu. Oleh kerana sifatnya yang bersih, kasturi tidak melanggar
syarat sah solat bagi seseorang yang memakai harumannya," jelas Noh.
Bagi peniaga minyak wangi dan kasturi seperti Tarmizi, dia mengakui
ada juga di kalangan pengunjung gerainya yang tidak mempercayai itulah
rupa kasturi yang sebenar.
Menyingkap pengalamannya berniaga, kasturi jualannya itu paling kerap
dipertikai oleh warga Pakistan yang mengatakan bahawa agak mustahil
bagi orang biasa memiliki kasturi dengan mudah, apatah lagi dijual di
pasar atau kaki lima.
"Mereka pelik melihat kasturi dijual dengan harga semurah ini di Malaysia.
Kata mereka, kasturi jarang sekali dimiliki oleh orang di jalanan.
"Harga kasturi di kawasan asal ia ditemukan sangat mahal mengikut
kualiti gred dan keasliannya. Ia boleh mencapai harga sehingga ribuan
ringgit sebiji. Beberapa gram butiran kasturi sahaja sudah mencapai
harga ratusan ringgit," katanya.